duam-pelajar
Pelajar Madrasah Darul Uloom AL Mustafa

MADRASAH Darul Uloom Al Mustafa (DUAM) adalah sebuah Pusat Pengajian Ilmu-Ilmu Islam. Pelajar DUAM terdiri daripada asnaf/anak yatim dan mereka dibiayai di bawah Program ‘Walid Angkat AlMustafa’. Pada masa ini, terdapat seramai 40 pelajar yang mengikuti pembelajaran di DUAM.

DUAM menawarkan proses pembelajaran menggunakan sistem talaqqi dan tarbiyah yang khusus dan terbuka kepada pelajar rendah, menengah dan dewasa tanpa sistem yuran.

Madrasah ini dibuka pada Januari 2015 di sebuah rumah banglo di atas tanah seluas 0.4 hektar/35000 kaki persegi bertempat di Lot 3266, Jalan Tempayan Emas 2, Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buloh.

Sejarah penubuhan DUAM bermula apabila Ustaz Hasnul Hakim Muhammad Zain yang juga pengetua/mudir madrasah ini diamanahkan oleh gurunya, Allahyarham Sheikh Baba Abdul Aziz Shafie Al Fatoni untuk membangunkan sebuah pusat pengajian Islam dengan matlamat untuk membantu melahirkan pelajar yang mampu menyahut seruan kebangkitan Islam pada zaman alaf baharu ini.

DUAM dalam pada itu turut menjalinkan kerjasama dengan Ribat Yusra di Tarim, Yaman di bawah kendalian Habib Ali Abu Bakar bin Syeikh Abu Bakar bin Salim selaku mudir Ribat Yusra yang juga Ahli Majlis Fatwa Darul Mustafa.

Pusat pengajian ini dikelola Pertubuhan Sahabat Mukmin Malaysia (Sahabat Mukmin). Maklumat lanjut berkenaan Sahabat Mukmin di sahabatmukmin.com.my 

Terbaharu, DUAM juga mengorak langkah dengan menyediakan pula pusat pengajian untuk pelajar-pelajar banat (perempuan). Dengan restu al Habib Umar bin Hafidz, madrasah banat ini telah diberi nama sebagai Annur Azzahir pada awal tahun 2018.

Pengajian di DUAM

Bagi pengajian talaqqi Kitab Turath, pelajaran yang disediakan oleh DUAM ialah:

  • Hadith Sunan Sittah
  • Ilmu Tauhid
  • Ilmu Feqah
  • llmu Usuluddin
  • Ilmu Tasauf
  • Ilmu Syariah Islam

Manakala, Pengajian al-Quran dan Bahasa Arab pula menyediakan:

  • Asas Bahasa Arab
  • Asas Nahu
  • Iqra dan Tajwid
  • Qiraat
  • Tafsir
  • Taranum