Madrasah Annur Azzahir (DUAM) – perempuan sahaja

Madrasah Annur Azzahir, Jalan Gajah 14  – (GPS: 3.203639, 101.522694)

Alhamdulillah, sejak ditubuhkan pada tahun 2015, Madrasah Darul Uloom al Mustafa (DUAM), Sungai Buloh kini mula menempa nama dan mendapat perhatian serta sokongan menggalakkan daripada masyarakat setempat. Bermula sebagai hanya pusat pengajian tahfiz dan kitab thurath, DUAM kini menjadi pusat berkumpulnya para pencinta ilmu, pencinta Allah SWT dan Rasullullah SAW serta para ulama.

Dengan keberkatan doa para ulama yang hadir, dan demi menjaga kelangsungan memelihara amanah Allahyarham Sheikh Baba Abdul Aziz Syafie al Fathoni, DUAM mengorak langkah dengan menyediakan pula pusat pengajian untuk pelajar-pelajar banat (perempuan). Dengan restu al Habib Umar bin Hafidz, madrasah banat ini telah diberi nama sebagai Annur Azzahir pada awal tahun 2018.

Pada awalnya, pusat pengajian untuk pelajar banat ini terletak di lokasi sama di DUAM, Sungai Buloh tetapi di bangunan yang berasingan. Walau bagaimanapun, pertambahan pelajar banat menjadikan ruang sedia ada semakin tidak selesa untuk diduduki. Alhamdulillah, pada bulan April 2018, penempatan dan tempat pengajian pelajar banat telah berpindah di sebuah rumah banglo besar yang lebih selesa dan luas. Ia disewa di alamat Jalan Gajah 14, Kampung Kubu Gajah (GPS: 3.203639, 101.522694). Madrasah Banat Annur Azzahir kini melangkah ke hadapan untuk menjadi sebuah pusat pengajian tahfiz dan kitab thurat bagi pelajar-pelajar banat yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun. Sistem pembelajaran yang digunakan adalah sama seperti yang dilaksanakan di DUAM dan mengikut tertib Darul Zahra di Tarim, Yaman.

Sebagaimana DUAM, Madrasah Banat Annur Azzahir juga tiada sistem yuran dan para pelajar dibiaya sepenuhnya melalui Program Walid Angkat al Mustafa. Kepada yang berhasrat untuk menyertai program ini, sila klik SINI.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *