LAPORAN AKHBAR: Darul Uloom Al-Mustafa perlu dana RM2 juta terus kelangsungan

SEKALI pbhduamandang, Akademi Pengajian Islam Al-Mustafa (APIM) atau juga dikenali sebagai Darul Uloom AlMustafa yang beroperasi di Lot 3266, Jalan Tempayan Emas 2, Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buloh adalah sebuah pusat tahfiz dan pengajian kitab thurat (menggunakan kitab pondok) yang mempunyai bangunan indah.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui pusat pengajian dikelola Pertubuhan Sahabat Mukmin Malaysia (Sahabat Mukmin) yang dibuka pada Januari tahun lalu itu kini berdepan masalah untuk menyelamatkan tanah dan bangunan yang sedang didiami.

Bangunan dan tanah seluas 0.4 hektar yang menjadi ruang untuk mereka menghafal al-Quran, menuntut ilmu serta ingin menjadi pewaris anbia itu pada saat ini sangat memerlukan pembelaan dan dana wakaf daripada orang ramai.

Pengetua APIM, Hasnul Hakim Muhammad Zain, 33, berkata pihaknya kini terpaksa memberikan sepenuh tumpuan untuk pelan pembangunan fasa satu iaitu menyelamatkan tanah dan bangunan yang memerlukan dana sumbangan RM2 juta.

Beliau berkata, dia membangunkan pusat pengajian berkenaan selepas diamanahkan oleh gurunya, Allahyarham Sheikh Baba Abdul Aziz Shafie Al Fatoni untuk membantu melahirkan pelajar yang mampu menyahut seruan kebangkitan Islam pada zaman alaf baharu ini.

Katanya, Sahabat Mukmin membeli tanah dan bangunan berkenaan daripada pemilik asal dengan membayar wang pendahuluan serta diberikan tempoh untuk menjelaskan bayaran.

“Bagaimanapun, selepas APIM beroperasi selama tujuh bulan dengan 15 pelajar berusia antara sembilan dan 21 tahun, kami didatangi pegawai bank yang memaklumkan bahawa tanah ini akan dikenakan tindakan sita.

“Barulah kami tahu cerita sebenar bahawa pemilik tanah ada masalah dengan bank. Kami terpaksa melakukan usaha menyelamat kerana pusat pengajian ini sudah beroperasi dan banyak modal dihabiskan untuk memilikinya.

“Alhamdulillah, kami bersyukur pihak pengurusan tertinggi bank memberikan tempoh yang boleh dilanjutkan sekiranya belum selesai. Pemilik tanah turut memberikan kerjasama kepada kami untuk menyelesaikannya langsung dengan pihak bank,” katanya di sini, baru-baru ini.

Usaha viral raih RM50,000   

Hasnul Hakim berkata, sebaik masalah berkenaan disedari dan dimaklumkan kepada ibu bapa pelajar, sebahagian daripada 15 pelajar bertindak menarik diri daripada mengikuti pengajian di APIM. Pihaknya kini hanya mempunyai enam pelajar yang semuanya adalah pelajar miskin dan anak yatim yang ditaja oleh Sahabat Mukmin.

Bagaimanapun katanya, APIM akan membuka semula pengambilan pelajar baharu tidak lama lagi selepas pihak bank memberi jaminan tidak akan menyita dan memberi peluang untuk mencari dana terlebih dahulu.

Buat masa ini, ahli Sahabat Mukmin berusaha membantu mengutip dana dengan pelbagai cara antaranya menviralkan permohonan mendapatkan sumbangan dana wakaf RM2 juta, menjual buku wakaf dan kalendar untuk menyelamatkan pusat pengajian itu.

Setakat ini, usaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai melalui viral di laman sosial kurang mendapat sambutan yang memberangsangkan. Melalui perkiraan, APIM memerlukan seramai 40,000 penyumbang dengan nilai RM50 seorang untuk mengumpul dana wakaf atau derma sebanyak RM2 juta.

“Sambutan yang diterima agak perlahan dengan jumlah yang diterima hanya kira-kira RM50,000. Kami juga belum menerima tajaan daripada mana-mana pertubuhan, syarikat atau orang ternama untuk menyelamat APIM ini.

“Untuk makluman, Sahabat Mukmin mempunyai kerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi membolehkan pemberi dana atau wakaf mendapatkan resit untuk pelepasan cukai,” katanya.

Selain itu, Hasnul Hakim berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk pendaftaran APIM kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi masih belum diluluskan kerana masalah pemilikan tanah berkenaan.

“Kami difahamkan lesen tidak dapat dikeluarkan kerana JAIS perlu mengeluarkan lesen ke atas lot tanah, oleh itu, kalau kami terpaksa berpindah, ia akan menimbulkan masalah juga pada kemudian hari,” katanya.

Sebaik berjaya menyelamatkan tanah dan bangunan berkenaan, beliau berkata, pihaknya merancang untuk pelan pembangunan fasa dua iaitu membina surau dua tingkat, asrama, 10 unit rumah pondok mengandungi dua bilik untuk pelajar kelamin serta pusat pengajian dengan kos keseluruhan dianggar RM3 juta.

Guna banglo jadi asrama 

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya terpaksa menggunakan banglo sedia ada sebagai surau, asrama dan pusat pengajian yang mampu menampung sehingga 80 pelajar.

“Dengan pelan pembangunan fasa dua kelak, kami berharap APIM dapat menampung seramai 300 pelajar,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH ke atas kemudahan yang disediakan di pusat pengajian itu mendapati sebahagian kawasan banglo berkenaan dalam keadaan daif dan memerlukan kerja pembaikan untuk keselesaan pelajar menuntut ilmu di situ.

Masalah itu diakui Hasnul Hakim yang menyatakan bahawa beberapa kontraktor sudah bersetuju untuk menaja kerja baik pulih tetapi kebanyakannya menangguhkan sementara usaha pembaikan berkenaan sehingga isu pemilikan tanah selesai.

“Persekitaran pusat pengajian ini cantik. Kami berdoa dapat selesaikan masalah ini kerana kami sudah membuka pusat pengajian dan menghabiskan banyak duit untuk mendapatkan tanah serta bangunan ini,” katanya.

Mereka yang berminat untuk membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB 8600590460 (Darul Uloom AlMustafa) atau hubungi Hasnul Hakim di talian 0192081191 untuk maklumat lanjut.

*LIHAT keratan akhbar BH Ahad, 16 Mac 2016, Muka 18 – Agama (Oleh Mohd Zin Ali)

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *